My Add

Monday 26 August 2013

UMNO perlu dengar taklimat penyebaran ajaran Kristian

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta Presiden serta semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO meluangkan masa mendengar taklimat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung agenda tersusun penyebaran agama Kristian kepada umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, langkah itu bertujuan memberi gambaran sebenar tentang gerakan tersebut, sekali gus dapat membantu kerajaan membuat keputusan yang betul dalam mempertimbangkan beberapa tuntutan daripada pihak tertentu.

Beliau berkata, taklimat berkenaan akan turut disokong dengan fakta-fakta serta bukti-bukti yang cukup jelas termasuk dalang sebenar di sebalik usaha mereka menyebarkan ajaran Kristian kepada umat Islam di Malaysia.

"Ahli MT perlu mendengar taklimat ini kerana UMNO adalah tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini. Kami mahu suara tegas daripada semua ahli MT UMNO bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Hassan berkata, taklimat itu juga akan memperjelaskan peranan pihak luar membantu rakan-rakan mereka dalam usaha menyebarkan agama Kristian di negara ini.

"Dalam beberapa taklimat sebelum ini, kita sebenarnya telah didedahkan dengan jelas bahawa beberapa pihak dalam Kristian sendiri tidak membenarkan penganutnya menggunakan kalimah Allah," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, Perkasa dalam isu tersebut mempersoalkan kegagalan Ahli-Ahli Dewan Rakyat serta Dewan Undangan Negeri Islam sama ada daripada UMNO, Pas mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir memberi sokongan berhubung isu kalimah Allah di Istana Kehakiman, Khamis lalu.

"Mana kelibat-kelibat Ahli-Ahli Dewan Rakyat Islam? Mana kelibat Ahli-Ahli Dewan Undangan negeri-negeri Islam termasuk UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

"Mana kelibat Ahli MT, ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Ahli Majlis Syura Pas, imam-imam dan lain-lain kenamaan Islam pada 22 Ogos baru-baru ini di bangunan Istana Kehakiman," soalnya.

Beliau berkata, pada hari tersebut kepemimpinan tertinggi Gereja telah hadir, namun para ulama dan pemimpin Islam entah ke mana di saat umat Islam memerlukan sokongan moral berhubung isu kalimah Allah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment