My Add

Monday 19 August 2013

Jalaludin tanding Ketua UMNO Jelebu, Zainuddin serah kepada ahli

JELEBU, AHAD, 18 Ogos, 2013: UMNO Bahagian Jelebu bakal menyaksikan ketua baharu dalam pemilihan peringkat bahagian pada Oktober ini berikutan penyandangnya, Tan Sri Dr. Rais Yatim telah membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan.

Berikutan kekosongan itu, dua pemimpin tempatan disebut-sebut sebagai calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut iaitu Ahli Parlimen Jelebu, Zainuddin Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaludin Alias.

Zainuddin ketika ini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian manakala Jalaludin yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri pula sebagai timbalan.

Difahamkan, Rais yang juga Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu dalam satu mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainuddin menegaskan, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli untuk menentukan kedudukannya kerana berpendapat dirinya tidak berhak mengangkat diri sendiri sebagai calon yang bakal bertanding, kecuali terdapat permintaan daripada akar umbi.

Menurutnya, beliau hanya akan mempertimbangkan mengenai kemungkinan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu setelah melihat reaksi daripada ahli-ahli di bahagian ini.

"Saya kini ingin fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen. Pada masa ini, marilah kita biarkan ahli-ahli bermesyuarat di peringkat cawangan dahulu, kemudian barulah memikirkan apa selepas itu berdasarkan suara akar umbi.

"Bukan hak kita untuk mengatakan kita layak atau tidak layak memegang jawatan ketua, tetapi hak itu datang daripada suara akar umbi. Itulah pendirian saya buat masa ini," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Jalaludin menyatakan kesediaan bertanding untuk mengambil alih jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang tidak akan dipertahankan oleh Rais pada pemilihan parti kali ini.

"Jadi, saya selaku Timbalan Ketua Umno Bahagian memikirkan bahawa sudah sampai masanya untuk saya mengambil alih jawatan ini bagi saya menguruskan UMNO bahagian ini.

"Saya harap mendapat kerjasama semua kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di padang awam Simpang Pertang di sini, malam tadi. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment