My Add

Thursday 22 August 2013

Jangan berlembut, henti layan tuntutan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan digesa berhenti daripada berlembut termasuk melayan pelbagai tuntutan pihak-pihak tertentu yang tidak munasabah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu disuarakan sekumpulan pakar perundangan ketika membincangkan sisi lemah kerajaan dalam sidang pleno Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama.

Sidang itu dipengerusikan bekas Penasihat Persekutuan dan Pegawai Undang-Undang Mageran (Majlis Gerakan Negara) semasa Darurat 1969, Tan Sri Dr. Abd. Aziz Abd. Rahman sempena pra-Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan.

Dalam sidang pleno yang diadakan di Ibu Pejabat Mara dekat sini itu, kumpulan berkenaan turut mendesak kerajaan supaya memperkasakan Perlembagaan Persekutuan terutama Akta Pendidikan 1966 yang diwujudkan bagi membina masyarakat yang bersatu padu dan dinamik.

Antara sisi lemah kerajaan yang dibincangkan ialah sikap berlembut kerajaan melayan tuntutan pihak tertentu yang mahu sekolah jenis kebangsaan Cina seakan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan sekolah kebangsaan, selain tuntutan bahasa asing diberi peruntukan tertentu yang bakal menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan perlu kembali kepada semangat Perlembagaan Persekutuan dan berhenti daripada berkompromi dengan tuntutan-tuntutan tidak munasabah.

"Jangan biarkan mereka ini bermain dengan bom jangka yang akan memporak-perandakan perpaduan negara. Sekarang ini kerajaan sudah banyak tersasar. Pihak-pihak tertentu itu menakut-nakutkan kerajaan sebab rasa diri mereka kuat.

"Berhentilah melayan tuntutan-tuntutan tak munasabah ini," tegasnya ketika memberikan pandangan dalam sidang pleno berkenaan.

Menurut Firdaus, Perlembagaan Persekutuan sudah cukup baik tetapi kerajaan bertindak menjadikannya sebagai bahan sasaran peras ugut.

Seorang peguam bela, Noorhajran Mohd. Noor pula berkata, adanya kemungkinan pihak tertentu akan mencabar jika kerajaan bertindak melayan tuntutan-tuntutan yang tidak berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak ini mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan jika tuntutan berkenaan dipenuhi," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment