My Add

Saturday 24 August 2013

Jenayah kanak-kanak meningkat

KUCHING, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Penglibatan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dalam kegiatan jenayah dilihat semakin membimbangkan apabila kes-kes jenayah membabitkan golongan berkenaan kini semakin meningkat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,570 kes kanak-kanak terlibat dengan jenayah dan Johor mencacatkan kes tertinggi iaitu 420 diikuti Kedah (414) dan Selangor (356).

Katanya, daripada jumlah tersebut lelaki Melayu mencatatkan penyumbang paling banyak dalam kes jenayah di negara ini iaitu seramai 1,805 orang diikuti lelaki India (212) dan lelaki Cina (195).

"Keadaan ini dilihat semakin parah apabila kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah pada usia tersebut meningkat sebanyak 6,018 kes sepanjang tahun lalu berbanding 5,547 kes yang dicatatkan pada 2011.

"Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka terlibat dengan jenayah bersabit harta benda iaitu sebanyak 2,742 kes diikuti penyalahgunaan dadah (1,096) dan bersabit dengan manusia seperti membunuh (762) dilaporkan bagi tempoh dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Padungan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rohani berkata, kesibukan ibu bapa dengan tugas dan tanggungjawab kerja menjadi faktor utama peningkatan kadar jenayah melibatkan kanak-kanak sejak kebelakangan ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kanak-kanak merasakan diri mereka tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa dan penjaga masing-masing.

"Keadaan ini merupakan satu kebimbangan pada negara apabila golongan muda menjadi penyumbang kepada indeks jenayah, jadi semua pihak harus bersama-sama dengan kerajaan dalam mengatasi masalah ini.

"Di peringkat kementerian, kami telah melaksanakan pengurusan pemulihan melibatkan pelbagai institusi dan pencegahan di peringkat komuniti yang bertujuan memelihara serta melindungi kanak-kanak daripada terus terjerumus dalam kegiatan jenayah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment