My Add

Saturday 24 August 2013

Tiga anggota Geng 08 diberkas

Oleh ANGELINA SINYANG
 
 *MOHAN Singh Tara Singh menunjukkan barang yang berkaitan dengan kes samun dan rompak dalam sidang akhbar di IPD Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng Geng 08 merupakan antara 18 penjenayah ditahan dalam Op Cantas Khas di daerah Cheras dalam tempoh seminggu ini.

Dalam operasi bermula Sabtu lalu sehingga hari ini, polis telah melakukan 250 pemeriksaan melibatkan 30 kawasan bebas dan selebihnya di premis-premis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, seramai 70 lelaki dan lapan wanita terdiri daripada pelbagai bangsa turut menjalani proses pemeriksaan dokumentasi.

Beliau berkata, polis turut merampas barang-barang dipercayai dicuri, dadah dan senjata daripada suspek iaitu tiga motosikal, kereta (dua), lori (satu) selain parang (lima), pisau (dua), buku lima (satu) dan ganja (1.44 gram).

"Hasil Op Cantas Khas tersebut, kami berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes jenayah dan narkotik melibatkan pelbagai kesalahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Cheras, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Geng 08 yang ditangkap, Mohan Singh berkata, ketiga-tiga suspek ditahan oleh anggota dari Cawangan Kereta Peronda dan Cawangan Pencegahan Jenayah IPD Cheras pada pukul 5.30 petang semalam dalam sebuah kereta BMW di Jalan Lee Tam Loy, Taman Taynton View, Cheras.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek membawa ganja seberat 1.44 gram dalam kereta dinaiki, manakala ujian air kencing mengesahkan mereka positif dadah jenis methamphetamine dan THC.

Katanya, siasatan mendapati suspek adalah anggota Geng 08 yang aktif menjalankan kegiatan memeras ugut dan meminta wang perlindungan daripada pekerja di tapak pembinaan di sekitar Cheras.

Selain anggota Geng 08, Mohan Singh berkata, penjenayah lain yang turut ditahan ialah seorang lelaki yang terlibat menyamun sepasang suami isteri di Jalan 2/125, Desa Petaling pada Selasa lalu.

"Polis merampas sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Unser yang dilaporkan hilang, satu komputer riba, sebilah parang, kunci kenderaan dan pelbagai kad mesin pengeluaran automatik (ATM) daripada lelaki tersebut," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment