My Add

Friday 23 August 2013

KDNK negara naik 4.3 peratus

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 *AHMAD Husni Hanadzlah bersalaman bersama para peserta dalam majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah di Kota GKinabalu, semalam.
KUALA LUMPUR, AMIS, 22 Ogos, 2013: Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2013 mencatatkan pertumbuhan lebih baik iaitu 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku pertama yang lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, peningkatan kadar KDNK itu disokong oleh permintaan domestik di sebalik persekitaran luar yang lemah.

"Pencapaian baik Malaysia ini selari dengan prestasi ekonomi Singapura dan Korea Selatan (bagi suku kedua 2013) apabila dua negara berkenaan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 3.8 peratus (dari 0.2 peratus) dan 2.3 peratus (dari 1.5 peratus)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Husni berkata, disebabkan faktor persekitaran luar yang lemah juga telah memberi kesan kepada pertumbuhan sederhana dua negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand.

"Kedua-dua negara ini telah mencatatkan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan pada suku kedua tahun 2013 iaitu 5.8 peratus (dari 6 peratus) dan 2.8 peratus (dari 5.4 peratus).

Sementara itu beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara terus didorong oleh permintaan domestik yang teguh (berkembang 7.3 peratus), disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.

"Pelaburan swasta juga meningkat pada kadar lebih cepat iaitu 12.7 peratus, hasil daripada pelaburan dalam sub-sektor perkhidmatan pengguna, pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang berterusan serta pengembangan kapasiti di dalam sektor minyak dan gas," ujarnya.

Pembahagian pelaburan swasta, katanya, juga telah meningkat iaitu daripada 62.3 peratus kepada 68.8 peratus.

Dari sudut penawaran pula, sektor pembuatan dan perlombongan kembali pulih dengan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus dan 4.1 peratus untuk suku tahun 2013.

"Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama KDNK dan pertumbuhan 4.8 peratus dalam sektor tersebut disokong oleh perkhidmatan komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perdagangan borong serta runcit," kata Ahmad Husni lagi.

Sementara itu di Kota Kinabalu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal yang dilaksanakan pada tahun ini ke tahun-tahun seterusnya dalam usaha meningkatkan pengurusan fiskal negara dan mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

"Kita akan meneruskan langkah ini dengan sasaran defisit Kerajaan Persekutuan berkurangan daripada 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2012 kepada empat peratus pada tahun ini dan seterusnya sekitar tiga peratus pada 2015," katanya ketika berucap dalam majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment