My Add

Friday 16 August 2013

Kecam pembunuhan di Mesir

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 * WAN Subki Wan Salleh bercakap dalam perhimpunan aman mengutuk pembunuhan rakyat Mesir bermula dari Ampang Point ke Kedutaan Mesir di Ampang, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Norazlina Othman
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Lebih 1,000 orang mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Mesir di sini hari ini bagi mengecam tindakan pasukan keselamatan negara itu membunuh penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Mereka berarak dari pusat beli-belah Ampang Point menuju Kedutaan Mesir sambil melaungkan Allahu Akbar dan membawa beberapa poster termasuk bertulis Stop the killing, return back peoples choice dan 'Hidup Morsi' bagi menyokong bekas presiden itu.

Demonstrasi diadakan kira-kira pukul 2 petang dianjurkan Pertubuhan Ikram Malaysia itu turut disertai oleh 102 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam demonstrasi tersebut, kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum bantahan yang disampaikan kepada wakil kedutaan tersebut, Ayman Salah.

Dalam kejadian terbaharu semalam, tentera Mesir melancarkan operasi pembersihan di dua kem utama penunjuk perasaan sehingga mengorbankan 2,200 orang.

Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Wan Subki Wan Salleh berkata, perhimpunan hari ini adalah bagi menyatakan sokongan rakyat negara ini terhadap penduduk Mesir.

"Kita harap kerajaan Mesir yang ada sekarang tidak meneruskan pembunuhan terhadap rakyatnya.

"Perkara tersebut amat mendukacitakan kita kerana keadaan seperti ini tidak pernah berlaku di Mesir sejak 70 tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan itu.

Sementara itu, wakil kepada 102 NGO yang lain, Prof. Datuk Dr. Hasan Basri Md. Dahan berkata, kerajaan Malaysia perlu menggunakan pengaruh politik dan diplomatik untuk memberi tekanan kepada tentera Mesir agar menghentikan pembunuhan ke atas rakyatnya.

"Kami juga meminta kerajaan Malaysia supaya mempengaruhi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar mengkaji semula keahlian Mesir dalam OIC sekiranya tentera enggan menghentikan pembunuhan dan mengembalikan semula kedudukan Mohammed Mursi sebagai Presiden Mesir yang sah," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment