My Add

Friday 16 August 2013

PBB, Liga Arab digesa campur tangan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO mahu badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab mengadakan mesyuarat segera dan menetapkan resolusi bagi membolehkan campur tangan kemanusiaan di Mesir.

Ini bagi menyelamatkan nyawa orang awam jika keadaan huru-hara itu gagal ditamatkan segera oleh pihak berkuasa Mesir.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihak berkuasa Mesir perlu menghentikan serta-merta tindakan membunuh para penunjuk perasaan yang terdiri daripada masyarakat awam sebelum keadaan menjadi semakin parah.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berharap perisytiharan darurat di negara itu dapat ditarik balik secepat mungkin selari dengan semangat kemenangan di bulan Syawal yang berbaki beberapa minggu lagi.

"Perkembangan di Mesir terutama di Delta Nil seperti Minya dan Assiut, Iskandariah, Fayoum di Kaherah serta Suez menyaksikan pihak berkuasa seperti polis dan tentera menggempur penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.

"Operasi tersebut dilaporkan telah mengakibatkan ribuan kematian dalam kalangan rakyat awam dan operasi ini merupakan satu kekejaman yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pasukan keselamatan Mesir dilaporkan mula menggempur penyokong Mursi seawal pukul 7 pagi semalam.

Ikhwanul Muslimin mendakwa, kira-kira 2,200 orang maut manakala lebih 10,000 yang lain cedera dalam operasi yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan Mesir di dua kem utama penunjuk perasaan pro-Mursi.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, pihak berkuasa Mesir perlu sedar dan insaf bahawa kekecohan di negara itu adalah akibat rampasan kuasa yang dilakukan pihak ketenteraan terhadap pemerintahan Mursi yang dipilih sebagai presiden melalui proses pilihan raya sah.

"Apabila pihak tertentu melanggar prinsip demokrasi dengan menggulingkan Mursi, itu secara jelas telah mengkhianati amanah rakyat.

"Pemuda UMNO dengan itu secara konsisten mengutuk keras kegagalan pihak berkuasa sementara Mesir menangani masalah di negara itu dan kami turut mengecam keganasan yang dilakukan pihak berkuasa terhadap masyarakat awam di sana," ujarnya.

Malah, beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia di sana terutama para pelajar untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Mesir bagi mengetahui kenyataan rasmi negara dan Wisma Putra. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment