My Add

Thursday 15 August 2013

Keluarga bimbang gadis 15 tahun hilang

 * ROSNAH Tahir menunjukkan gambar Nur Elisa Sazrin Rosli yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pada 18 Julai lalu.
PASIR PUTEH, RABU, 14 Ogos, 2013:: Seorang peniaga di Kampung Bukit Abal, Selising dekat sini, bimbang terhadap keselamatan anak gadisnya berusia 15 tahun yang hilang sejak 28 hari lalu.

Nur Elisa Sazrin Rosli iaitu pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini dilaporkan hilang sejak 18 Julai lalu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Ibunya, Rosnah Tahir, 47, melahirkan kebimbangan kerana mengesyaki ada kemungkinan anaknya itu dikurung pihak tertentu kerana usaha mengesan Nur Elisa Sazrin di sekitar kampung dan beberapa daerah lain, masih gagal menemukannya.

"Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh suami, Rosli Ab. Kadir, 48, untuk menjejaki Nur Elisa Sazrin namun tidak menampakkan sebarang hasil," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Rosnah berkata, kehilangan anak kelima daripada enam beradik itu disedari keluarga selepas dia tidak pulang ke rumah pada pukul 4.30 petang hari berkenaan dan sebelum ini tidak pernah berbuat sedemikian.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui berkata, usaha awal mencari dilakukan pada hari sama di sekitar kawasan asrama dan sekolah Nur Elisa Sazrin, namun gagal menemukan anak gadisnya itu.

Rosli berkata, anaknya itu pernah merungut mahu berhenti sekolah selepas kecewa niatnya hendak menunggang motosikal dihalang oleh keluarga kerana dia tidak pandai menunggang motosikal, tiada lesen selain bimbang keselamatan dirinya.

Rosli memberitahu, dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada 19 Julai lalu mengenai kehilangan Nur Elisa Sazrin dan dua hari kemudian ada penduduk memaklumkan anak gadisnya itu dikesan tidur di rumah rakannya di Kampung Alor Pasir, dekat sini.

"Saya bergegas ke rumah berkenaan tetapi hampa apabila diberitahu dia sudah keluar dari rumah berkenaan bersama seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

"Saya berjaya menjejaki remaja lelaki terbabit yang mengaku menghantar Nur Elisa Sazrin ke sebuah stesen minyak di Kampung Jerus dekat sini pada malam 20 Julai sebelum dibawa oleh remaja lelaki lain menuju ke Bachok," katanya.

Rosli berkata, telefon bimbit Nur Elisa Sazrin juga gagal dihubungi kerana sudah dimatikan.

Beliau berkata, Nur Elisa Sazrin mempunyai ketinggian 1.5 meter, berkulit cerah dan tubuhnya sedikit berisi, rambut paras bahu, memakai baju T berwarna biru tua iaitu baju kokurikulum sekolah, seluar trek hitam dan tidak membawa sebarang pengenalan diri semasa keluar rumah.

"Saya merayu kepada sesiapa yang pernah melihat atau terserempak dengannya supaya segera menghubungi saya melalui talian 014-8021807, 014-5036016 atau memaklumkan kepada balai polis berdekatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment