My Add

Thursday 15 August 2013

Semua perkhidmatan kewangan percuma

 Koid Swee Lian
KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak pernah melantik mana-mana individu atau agensi untuk memberi khidmat kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit menerusi agensi itu.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian menegaskan, semua perkhidmatan kewangan yang disediakan di 11 buah cawangan dan sembilan pejabat kaunseling AKPK adalah percuma.

Katanya, pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan kewangan perlu datang sendiri di mana-mana sahaja cawangan atau pejabat kaunseling AKPK untuk berurusan secara terus dengan kaunselor kredit agensi itu.

"Jangan percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan perkhidmatan perundingan kewangan melalui AKPK dengan mengenakan bayaran.

"Mereka yang didatangi mana-mana individu yang mendakwa dirinya sebagai wakil AKPK dan meminta bayaran untuk perkhidmatan diberikan, boleh segera melaporkan kepada AKPK di talian 1-800-88-2575," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas dakwaan ada individu yang mengaku sebagai wakil kepada AKPK dan mengenakan bayaran untuk membolehkan pelanggan mendapat khidmat di agensi tersebut.

Mengulas lanjut, Swee Lian juga memberitahu, kes-kes seperti itu amat jarang berlaku namun pihaknya memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Jelasnya, AKPK memang diwujudkan bagi membantu orang ramai menguruskan kewangan secara percuma.

"Tetapi sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai wakil AKPK dan mengenakan bayaran, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

"Ini perlu dilakukan bagi melindungi orang ramai daripada ditipu oleh mereka yang berniat mengaut keuntungan atas angin,"ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, AKPK bukan agensi yang menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan, sebaliknya hanya memberi khidmat nasihat serta kaunseling tentang pengurusan kewangan selain menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment