My Add

Sunday 25 August 2013

Keluarga suspek ditembak boleh mohon inkues

PULAU PINANG, AHAD, 25 Ogos, 2013: Keluarga lima penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis Isnin lalu, boleh mengemukakan permohonan inkues terhadap kematian suspek berkenaan tanpa sebarang sekatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak mendapatkan pembelaan dan kerajaan sama sekali tidak akan mengetepikannya termasuk kepada penjenayah.

"Tiada masalah untuk melakukan inkues kerana sistem itu sememangnya telah wujud, cuma bagi kes ini masih lagi dalam siasatan polis.

"Permohonan melakukan inkues boleh dibuat sebaik siasatan selesai dan laporan dihantar ke pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Legenda Aidilfitri di sini malam tadi.

Selasa lalu, polis mengesahkan menerima empat laporan daripada keluarga suspek yang mati ditembak dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Pantai Jerejak, Sungai Nibong di sini, yang mahu inkues ke atas kematian kelima-lima suspek itu dilakukan kerana mendakwa mereka ditembak tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan, pihak polis telah mengikuti SOP ditetapkan sebelum mengambil sebarang keputusan dalam operasi berkenaan.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment