My Add

Friday 16 August 2013

Kepulauan Mersing kini Taman Laut Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memperkenankan penjenamaan semula Taman Negara Johor Kepulauan Mersing dengan nama baharu iaitu Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, penjenamaan semula itu dilakukan agar destinasi pelancongan tersebut lebih komersial, sekali gus mampu meningkatkan lagi jumlah pengunjung.

Bukan itu sahaja, menurut beliau, bermula 1 September ini, caj baharu iaitu sebanyak RM5 dikenakan kepada pengunjung tempatan dan RM20 kepada warga asing untuk memasuki taman-taman negara di negeri ini termasuk TLSI.

"Sebelum ini pengunjung tidak dikenakan sebarang caj masuk, namun atas tujuan pemuliharaan dankonservasi, kadar tersebut diperkenalkan bagi sama-sama menjaga dan mengekalkan biodiversiti kawasan berkenaan.

"Bagi aktiviti menyelam pula, ia dihadkan kepada 100 penyelam sahaja dalam sehari bagi setiap gugusan pulau dan hanya operator yang berdaftar dengan Jabatan Pelancongan negeri sahaja dibenarkan membawa masuk penyelam," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim.

Tambah Ayub, TLSI meliputi enam gugusan pulau iaitu Pulau Sibu, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar dan hanya 600 penyelam dibenarkan melakukan aktiviti selaman di sekelilingnya.

"Justeru, PTNJ menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM1 juta dapat diperoleh daripada yuran konservasi dan menyelam yang diperkenalkan dan ia akan digunakan untuk tabung pemuliharaan bagi membiayai program konservasi hidupan marin dan biologi sekitarnya.

"Ini termasuk dari sudut kajian, penyelidikan dan program pendidikan alam bagi memastikan kesinambungan nilai yang boleh mencapai tahap pengiktirafan dunia dari segi kecemerlangan pengurusan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment