My Add

Thursday 22 August 2013

Kerajaan Pusat usaha tangani isu ekonomi di Sabah

KOTA KINABALU, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Kerajaan Pusat akan berusaha menangani isu ekonomi yang dihadapi Sabah bagi memastikan pertumbuhan mampan dan menyeluruh di negeri ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi negeri ini terutama kos sara hidup yang tinggi, infrastruktur yang tidak menyeluruh, jurang perbezaan taraf hidup yang ketara antara penduduk bandar dan luar bandar serta kekurangan modal insan yang mahir dan berbakat.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah termasuk di Sabah.

"Antara program dan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi program 1Azam, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan serta Kedai Rakyat 1Malaysia," kata beliau pada Majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini hari ini.

Ahmad Husni berkata, kerajaan turut melaksanakan program Skim Latihan 1Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran dan pendapatan belia di Sabah.

Menurutnya, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan itu berjaya menyumbang ke arah pengurangan kadar kemiskinan isi rumah Sabah daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus pada tahun lepas.

Dari perspektif pengurusan kewangan pula, Ahmad Husni berkata, ekonomi Sabah secara amnya menyumbang hampir enam peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di samping itu, beliau berkata, pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah berjaya meyakinkan pelabur dan masyarakat peniaga terhadap prospek ekonomi negeri ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment