My Add

Tuesday 13 August 2013

Kes remaja hamil luar nikah serius

SEBUYAU, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Bilangan kanak-kanak atau remaja perempuan bawah umur yang hamil luar nikah mencatat peningkatan mendadak apabila sebanyak 191 kes dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, jika trend tersebut berterusan, bilangan kes berkenaan sepanjang tahun ini dijangka jauh lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya.

"Sepanjang 2011, statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 204 kes kanak-kanak atau remaja bawah umur hamil dirujuk kepada pihak mereka manakala pada tahun lalu, sebanyak 172 kes.

"Pada tahun ini, jumlah kes setakat Mei lalu yang dilaporkan iaitu 191 kes sudah cukup tinggi. Sebab itu kita mahu memberi tumpuan dan mencari jalan untuk menanganinya sebaik mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Batang Lupar di Dewan Masyarakat Sebuyau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu, Kuala Lumpur mencatat jumlah kes kanak-kanak atau remaja hamil luar nikah tertinggi diikuti Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, golongan tersebut hamil selepas melakukan hubungan seks haram dengan pasangan masing-masing.

"Pengaruh pornografi, kurangnya pendidikan moral serta kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku anak-anak merupakan faktor penyumbang kepada peningkatan kes tersebut.

"Kita sebut memang mudah, tetapi hendak menanganinya adalah sukar. Tiada jalan tengah, sebaliknya marilah kita memainkan peranan bersama untuk menyelesaikan masalah sosial ini," katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, Seksyen 41(2)(d) Akta Kanak-kanak 2001 membenarkan kanak-kanak atau remaja perempuan berumur bawah 18 tahun yang hamil luar nikah ditempatkan di rumah perlindungan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment