My Add

Tuesday 13 August 2013

Tanda ke arah pluralisme agama

 Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013; Kejadian bangunan surau di sebuah pusat peranginan di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor yang dijadikan tempat upacara sembahyang dipercayai oleh penganut Buddha kelmarin, merupakan petanda fahaman pluralisme agama semakin berkembang di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejadian itu perlu ditangani segera bagi mengelak masyarakat meletakkan kedudukan semua agama di negara ini setaraf dengan agama Islam.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai penyimpangan daripada agama Islam sebenar, tambah beliau, kejadian tersebut juga menunjukkan masyarakat di negara ini semakin tidak sensitif dengan perkara-perkara berkaitan perbezaan agama.

"Tiada masalah untuk kita mengiktiraf kewujudan agama lain, malah pelbagai agama bebas dianuti di negara ini. Namun, tindakan biadab di Sedili Besar itu perlu dikekang kerana merupakan bibit ke arah pluralisme yang boleh membawa kepada kemudaratan lebih besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, penduduk sekitar perkampungan nelayan di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari oleh seorang pengunjung resort tersebut yang ingin menunaikan solat asar.

Tambah Asyraf Wajdi, kejadian surau dijadikan tokong itu bukan sahaja mengecewakan umat Islam tetapi membawa kepada kebimbangan lebih besar iaitu berkaitan penyimpangan akidah.

"Ideologi pluralisme yang diperjuangkan pihak-pihak tertentu termasuk pemimpin politik pembangkang ini perlu ditangani. Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas dalam hal ini sebelum lebih banyak insiden penghinaan terhadap agama Islam berlaku," katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kejadian di Sedili Besar tersebut merupakan penghinaan kepada umat Islam.

Paling dikesalkan, kata beliau, sekiranya pengusaha resort itu merupakan seorang Islam kerana sanggup membiarkan surau tersebut dijadikan lokasi sembahyang penganut agama lain.

"Ini merupakan perkara yang serius dan tidak boleh dibiarkan. Tindakan amat tegas perlu diambil kepada pihak yang bertanggungjawab dalam perbuatan biadab ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment