My Add

Sunday 25 August 2013

Ketegangan kaum masih rendah

KUALA TERENGGANU, SABTU, 24 Ogos, 2913: Keadaan ketegangan di antara kaum di negara ini masih rendah serta terkawal, kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui pelaksanaan Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) kelolaan pihak jabatan melalui pentauliahan seramai 874 mediator sebagai 'orang tengah' bagi menyelesaikan isu berkaitan ketegangan kaum yang berlaku di seluruh negara.

Katanya, bagi mendapatkan indeks yang tepat dan benar, jabatan itu turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memastikan kes-kes ketegangan melibatkan perkauman dapat dikekang secara berterusan.

"Setiap tahun kita dapat sasarkan IKM tidak mencapai lebih daripada 25 per sejuta penduduk, cuma pada tahun 2008 sahaja indeks tinggi iaitu 27.9 per sejuta penduduk.

"Namun, daripada tahun ke tahun indeks semakin menurun malah pada enam bulan pertama tahun ini hanya 9.2 per sejuta penduduk berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 10.4 per sejuta penduduk dan kita jangka sehingga hujung tahun nanti indeks tidak akan capai lebih daripada 19 per sejuta penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2013 Peringkat Negeri Terengganu sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment