My Add

Sunday 25 August 2013

Kibar Jalur Gemilang: Kerajaan cadang wujud undang-undang khas

KUALA LUMPUR. SABTU, 24 Ogos, 2013: Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang mewujudkan undang-undang khas bagi mewajibkan setiap premis sama ada milik kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kemerdekaan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, pendirian tersebut diambil memandangkan masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta belum mengibarkan bendera walaupun sambutan hari kemerdekaan negara semakin hampir.

Katanya, keadaan itu jelas berbeza dengan negara-negara jiran yang mana syarikat-syarikat swasta turut serta mengibarkan bendera sepanjang bulan kemerdekaan termasuk syarikat milik antarabangsa.

"Sekarang kita masih belum mengenakan sebarang undang-undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan dan swasta sebaliknya dilakukan secara sukarela.

"Namun, kita akan mengkaji perkara ini dengan lebih serius dan mungkin akan mewajibkan setiap premis bukan sahaja bangunan tetapi melibatkan kediaman mengibarkan bendera sepanjang bulan kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program 'Pocket Show 2013' anjuran Jabatan Penerangan di Uptown Danau Kota, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan ramai pemilik premis tidak peka kepentingan mengibarkan bendera dalam melahirkan rasa kecintaan kepada negara.

"Mungkin dengan adanya undang-undang itu nanti mampu membantu meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya mengibarkan bendera," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment