My Add

Friday 2 August 2013

KL kecam The New Paper


KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Malaysia mengecam tindakan sebuah akhbar di Singapura yang menghina negara menerusi artikel bertajuk Selamat datang ke Malaysia di mana untuk mati adalah murah dan untuk hidup adalah mahal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata artikel itu tidak mengandungi fakta sebenar, sebaliknya bersifat pandangan semata-mata.

Beliau berkata, akhbar itu sepatutnya menghubungi kementerian untuk mengetahui fakta sebenar di sebalik beberapa insiden tembakan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Kes tembak ini kebanyakannya lebih bersifat peribadi di kalangan gangster dan bukannya tembakan secara rambang terhadap orang awam, katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, akhbar The New Paper di Singapura melaporkan kos mengupah seorang pembunuh upahan di Malaysia adalah sekitar RM5,000.

Sehubungan itu, akhbar berkenaan turut melaporkan kos yang murah menyebabkan sesiapa saja boleh mengupah pembunuh upahan.
Akhbar itu juga meletakkan poster artikel itu di rak menjual akhbar di sebuah pusat beli-belah di republik itu.

Artikel berkenaan turut melaporkan beberapa kes pembunuhan di negara ini, termasuk pengasas Perbankan Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, artikel itu boleh membawa impak negatif sehingga menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura.

Walaupun ia bukan pendirian kerajaan Singapura, seperti yang kita ketahui media di sana bukan bebas sepenuhnya. Artikel seperti itu memburukkan Malaysia di mata dunia serta memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan dan pelaburan, katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya akhbar The New Paper mempunyai agenda lain dan mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata laporan akhbar berkenaan sama seperti menangguk di air yang keruh.

Katanya, yang pasti rakyat di negara itu lebih tahu apa sebenarnya yang berlaku di Malaysia dan kesannya adalah kemasukan mereka ke negara ini.

Setakat ini, kunjungan mereka tidak pula menunjukkan pengurangan walaupun disebarkan dengan pelbagai perkara negatif berkaitan Malaysia, katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar itu melaporkan kos mengupah seorang pembunuh upahan di Malaysia adalah sekitar RM5,000, sehingga sesiapa saja boleh mengupah pembunuh upahan.

Akhbar itu juga meletakkan poster artikel itu di rak menjual akhbar di sebuah pusat beli-belah di republik berkenaan. - BH

No comments:

Post a Comment