My Add

Thursday 15 August 2013

Komen Kuan Yew tidak tepat

 * LAKARAN artis mengenai salah satu kawasan pembangunan di Iskandar Malaysia.
JOHOR BAHRU, RABU, 14 Ogos, 2013: Walaupun berhadapan dengan komen negatif daripada Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini, Iskandar Malaysia akan terus menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat hartanah seluruh dunia.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Johor, Koh Moo Hing berkata, komen Lee tentang Iskandar Malaysia itu tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan terkini tentang wilayah pembangunan khas selatan Johor.

"Komen Lee (Kuan Yew) tentang Iskandar Malaysia itu tidak tepat dan tidak lagi relevan pada masa ini. Ia (pandangan Lee) tidak akan memberi kesan kepada Iskandar Malaysia.

"Beliau (Lee) datang daripada era yang berlainan. Kini Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta visi-visinya adalah (era) yang amat berlainan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Berlainan dengan era pentadbiran Perdana Menteri Singapura yang pertama itu, Najib dan rakan sejawatannya ketika ini, Lee Hsien Loong menurut Koh, telah berjaya menyelesaikan beberapa isu tertangguh di antara kedua-dua negara.

Beliau memberi contoh penyelesaian isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar, Singapura yang membuktikan kerjasama erat yang terjalin ketika ini di antara Putrajaya dan republik tersebut.

Hubungan diplomatik yang lebih erat antara kedua-dua negara, menurut Pengerusi REHDA Johor itu turut terjalin dalam bidang ekonomi sebagaimana yang disaksikan kini di Iskandar Malaysia.

Sejak Iskandar Malaysia yang berkeluasan dua kali ganda republik itu dilancarkan pada akhir 2006, ia telah berjaya menarik sebanyak RM118 bilion pelaburan dengan 34 peratus daripadanya disumbangkan oleh pelabur asing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment