My Add

Thursday 15 August 2013

Pegawai polis tolak rasuah RM500,000

 * ZULKIFLI Ali (tengah) dibawa anggota polis keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa atas tuduhan memberi rasuah kerana memiliki dadah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, RABU, 14 Ogos, 2013: Kecekalan Asisten Supritendan (ASP) Abdul Ghani Talib yang tidak berganjak daripada tugasnya walaupun ditawarkan imbuhan RM500,000 bukan sahaja dapat membongkar sindiket dadah di Muar tetapi juga menyebabkan penjenayah dadah yang cuba merasuah beliau itu dihadapkan ke muka pengadilan hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu ditawarkan rasuah RM300,000 selepas serbuan pertama ke sebuah rumah yang kemudiannya dinaikkan kepada RM500,000 selelah pasukan polis yang diketuainya menyerbu sebuah lagi rumah milik suspek.

Suapan lumayan itu gagal menggugat kejujuran Abdul Ghani dan hari ini, tertuduh yang juga seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menawarkan rasuah RM500,000 bagi melepaskannya daripada ditahan kerana disyaki memiliki dadah April lalu.

Zulkifli Ali, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Norhidayah Abdul Manaf.

Dia didakwa menawarkan wang itu kepada Abdul Ghani di sebuah rumah beralamat nombor 2C, Blok C, Pangsapuri Indah, Jalan Salleh, Muar kira-kira pukul 2.45 petang, 12 April lalu.

Wang suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan supaya Abdul Ghani melepaskan tertuduh yang telah ditangkap kerana disyaki memiliki dadah yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zulkifli didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abdul Malik manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Norhidayah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 18 September ini.

Zulkifli walau bagaimanapun gagal membayar wang jaminan tersebut.

Akhbar pada awal bulan ini melaporkan tindakan seorang pegawai polis berpangkat ASP dari IPD Muar yang menolak tawaran rasuah sebanyak RM500,000 telah berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah di daerah itu.

Suapan lumayan itu ditawarkan selepas pegawai tersebut menyerbu sebuah rumah di Jalan Salleh pada 12 April lalu.

Dalam serbuan itu, sepasukan anggota polis yang diketuai oleh pegawai terbabit menemukan 21 kilogram dadah jenis heroin yang dipercayai milik seorang suspek itu.

Berikutan penemuan awal itu, suspek telah menawarkan wang tunai sebanyak RM300,000 kepada pegawai tersebut tetapi tidak dilayan.

Serbuan susulan di sebuah lagi rumah milik suspek kemudian menemukan pula hasil kekayaan yang dikumpul seperti kereta mewah dan barangan lain serta wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM1.3 juta.

Terdesak untuk melindungi harta dan melepaskan diri, suspek membuat tawaran kedua dan jumlahnya dinaikkan kepada RM500,000, namun wang tersebut gagal mengugat kejujuran pegawai polis berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment