My Add

Saturday 24 August 2013

KPDNKK guna kumpulan pemikir jaga kepentingan pengguna

PUTRAJAYA, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mewujudkan satu kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang bagi menyelesaikan beberapa isu yang timbul sebelum ini.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, kumpulan pemikir itu akan bertindak menyumbang idea baharu dan segar yang dapat menjaga kepentingan seluruh pengguna serta peniaga tempatan.

"Kita telah meneliti beberapa bidang yang memerlukan kumpulan pemikir ini, antaranya bidang perdagangan domestik, barangan tempatan, koperasi dan kepenggunaan.

"Selain itu, kumpulan ini juga berperanan untuk melihat dari sudut teknikal seperti dalam Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan 100 Hari sebagai Menteri KPDNKK, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalannya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Saripuddin Kasim.

Menurut Hasan, kementeriannya turut membuka pintu terhadap mana-mana pihak yang berminat menyumbang idea dan buah fikiran bagi kepentingan semua pihak.

Katanya, pihaknya mahukan kumpulan pemikir tersebut bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan isu yang timbul pada masa sekarang malah, mampu memberi idea terhadap isu baru.

Dalam pada itu, mengulas mengenai genap 100 hari sebagai menteri, Hasan berkata, beliau berbangga dengan komitmen berterusan yang diberikan semua kakitangannya terutama penglibatan tenaga muda dalam menjayakan dasar kementerian tersebut.

Katanya, isu kenaikan harga ayam pada permulaan Ramadan dan masalah kekurangan diesel merupakan antara isu yang paling mencabar sepanjang 100 hari menjawat jawatan tersebut.

"Alhamdulillah masalah ini dapat diatasi dan hanya bersifat sementara, namun, jika tiada pembetulan dilakukan segera masalah ini mungkin tiada berpenghujung dan semakin parah.

"Masalah ini bukan pertama kali berlaku dan boleh dikatakan setiap tahun berlaku, justeru, langkah proaktif akan diambil antaranya dengan mengenal pasti masalah dalam rantaian bekalan yang merupakan isu asas perlu ditangani," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment