My Add

Saturday 24 August 2013

Bersama cari pasaran baru - Muhyiddin

BANGKOK, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan syarikat-syarikat Malaysia dan Thailand mencari jalan bagi mengelak persaingan dalam perniagaan yang sama, sebaliknya bekerjasama bagi menembusi pasaran baru.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, terdapat banyak persamaan dalam perniagaan antara kedua-dua negara tetapi keadaan itu tidak sepatutnya menghalang mereka untuk merebut peluang ekonomi.

"Mereka boleh bekerjasama untuk mengeksport barang ke pasaran negara lain seperti China, India dan Korea," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai mesyuarat meja bulat dengan para peneraju industri dari kedua-dua negara di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut yang diadakan sempena lawatan rasmi beliau dua hari ke negara ini bermula semalam, turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Kittirat Na Ranong.

Muhyiddin berkata, Majlis Perniagaan Malaysia-Thailand (MTBC) yang disertai oleh ahli perniagaan dari kedua-dua negara juga boleh membincangkan masalah berkenaan dan merangka bentuk kerjasama yang boleh dijalankan oleh kedua-dua negara.

Menurutnya, syarikat Thailand mempunyai kepakaran dalam beberapa bidang seperti pemprosesan makanan, produk penjagaan kesihatan, pelancongan, logistik dan sektor berasaskan sumber.

"Kita tidak sepatutnya melihat kedua-dua negara sebagai bersaing sesama sendiri tetapi perlu bekerjasama mewujudkan perkongsian bersifat menang-menang," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, dalam mesyuarat berkenaan Malaysia turut menawarkan insentif kepada syarikat Thailand yang mahu membuat pelaburan di Malaysia seperti pengecualian cukai dan pemilikan aset.

Langkah itu diambil katanya, dalam usaha menarik pelabur negara ini datang ke Malaysia sekali gus meningkatkan lagi jumlah perdagangan kedua-dua negara.

Berucap pada mesyuarat berkenaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, hubungan dagang kedua-dua negara terus meningkat walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Katanya, pada tahun lalu jumlah dagangan kedua-dua negara mencecah AS$24 bilion, peningkatan 5.4 peratus berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Tambahnya, dagangan itu melibatkan produk import dan eksport ke Thailand yang lebih kurang sama seperti barangan elektrikal dan elektronik, bahan kimia, mesin dan alat ganti. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment