My Add

Wednesday 14 August 2013

Kuatkan jati diri tolak pluralisme, hina kesucian Islam

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Ogos, 2013: Umat Islam perlu memperkuatkan jati diri dan menolak sebarang bentuk toleransi dalam mempertahankan agama bagi mengekang perkembangan pluralisme dan trend penghinaan terhadap kesucian Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, musuh Islam akan menggunakan serangan pluralisme kerana kefahaman ini akan menyebabkan umat Islam keliru dengan kefahaman sebenar.

"Akhirnya umat Islam yang tidak memahami Islam akan mentafsirkan ajaran Allah itu mengikut hawa nafsu sehingga menyebabkan orang lain dengan mudah menghina dan mempermainkan Islam dengan sewenang-wenangnya," ujarnya.

Beliau mengulas tentang kejadian bangunan surau di sebuah pusat peranginan di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor yang dijadikan tempat upacara sembahyang penganut Buddha, sekali gus merupakan petanda fahaman pluralisme agama semakin berkembang di negara ini.

Menurut Ibrahim lagi, kewujudan golongan liberal di negara ini yang memberi fahaman salah terhadap Islam telah membuka ruang kepada golongan bukan muslim serta penganut sendiri menghina agama Islam.

"Golongan ini mempertikaikan syariat Islam seperti keharusan berpoligami, memakai tudung, pelaksanaan hudud, hukum wanita memasuki pertandingan ratu cantik dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan orang bukan Islam berani mempermainkan kesucian agama kita dan orang Islam sendiri juga terikut-ikut," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, umat Islam sendiri perlu lebih sensitif dan sependapat dalam menangani permasalahan tersebut daripada terus berleluasa.

"Penghinaan terhadap agama sehingga ke tahap membiarkan rumah ibadat Islam digunakan penganut agama lain sememangnya satu perbuatan yang kurang ajar dan langsung tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja.

"Jika umat Islam di seluruh Malaysia bersatu tanpa mengira fahaman politik menentang kebiadaban ini, siri penghinaan pasti akan terhapus dan mereka tidak akan berani lagi mencabar kedudukan dan hak orang Islam di negara ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment