My Add

Wednesday 14 August 2013

Kontroversi agama ujian masyarakat berbilang kaum

Loh Seng Kok
 
KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Ogos, 2013: Beberapa kontroversi berkaitan agama yang berlaku sejak kebelakangan ini dilihat sebagai satu bentuk ujian terhadap kesabaran dan ketabahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata, insiden-insiden tersebut mengingatkan rakyat bahawa perpaduan dan keamanan yang dinikmati kini tidak boleh diambil sambil lewa.

"Malaysia akan menyambut kemerdekaannya ke 56 tidak lama lagi. Oleh itu, sebagai rakyat, kita sudah matang tentang sensitiviti antara kaum dan sebarang bentuk percubaan untuk menggugat keharmonian.

"Perkara ini penting agar kita semua dapat hidup dalam keamanan dan hormat-menghormati serta bertolak ansur antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas beberapa insiden membabitkan tindakan menghina dan memperlekeh agama yang dilakukan segelintir pihak sehingga menyebabkan kemarahan rakyat di negara ini.

Mengulas lanjut, Seng Kok menegaskan, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak perlu mengelakkan diri daripada terjerat dengan sebarang pertikaian membabitkan agama atau lain-lain perkara sensitif, selain mengambil pengajaran daripada insiden yang telah berlaku.

Beliau berkata, nilai-nilai murni yang telah lama sebati di dalam jiwa rakyat negara ini perlu diaplikasikan supaya sebarang isu berbangkit dapat diselesaikan dengan berhemah bagi menjamin kemakmuran dan kestabilan sedia ada.

Katanya, kerajaan perlu memberi perhatian yang serius terhadap sebarang usaha untuk mewujud atau memperbesarkan isu sensitif antara masyarakat berbilang kaum dengan mendakwa segera dalang kepada perbuatan tersebut.

"Setiap agama di dunia ini mengajar penganutnya dengan nilai-nilai murni, namun permasalahan timbul daripada tingkahlaku penganutnya sendiri.

"Sehubungan itu, adalah penting bagi kita untuk menterjemahkan ajaran agama masing-masing ke arah keharmonian antara satu sama lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment