My Add

Friday 23 August 2013

Kumpulan penentang digempur

* GAMBAR dikeluarkan oleh rangkaian berita Shaaam, merakamkan asap menyelubungi ruang udara di Ghouta, Syria, dipercayai gas bertoksik yang dilancarkan menerusi serangan roket oleh tentera kerajaan di Damsyik, kelmarin. - AFP
BEIRUT , KHAMIS,22 Ogos, 2013: Tentera Syria, hari ini meningkatkan serangan ke atas kumpulan penentang di pinggir Damsyik dengan membedil kawasan yang dikuasai kumpulan itu di bandar Ghouta.

Serangan ke atas Ghouta itu dilancarkan sehari selepas aktivis mendakwa, tentera Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan roket yang dilengkapi gas saraf di kawasan sama yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,300 orang terbunuh.

Menurut aktivis, dalam serangan hari ini, serangan roket dilancarkan dari pelbagai pelancar dan mortar berat dan mengenai kawasan kediaman di Jobar dan Zamalka.

Serangan roket turut mengenai daerah berhampiran Qaboun, lokasi kumpulan penentang menangkis serangan berulang-kali oleh tentera yang mahu menawan semula kawasan yang turut menempatkan kem pelarian Palestin itu.

Ketika bercakap dari Ghouta, aktivis Khaled Amer berkata, letupan akibat serangan di Zamalka masih kedengaran.

Katanya, letupan di Jobar pula didengari dari kubu tentera dan satu lagi di kawasan yang menempatkan kereta kebal dan dipercayai akibat serangan kumpulan penentang.

Fadi al-Shami dari Briged Tarhrir al-Sham yang beroperasi di timur Ghouta berkata, banyak pertempuran berlaku di Jobar dan Zamalka dengan penentang bertindak menghampiri tentera untuk berada di kedudukan selamat ekoran bimbang dengan serangan kimia baharu oleh tentera.

Sementara itu di New York, draf resolusi mengecam dan mendesak tindakan lebih keras dikeluarkan terhadap Syria yang dihantar kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak diluluskan.

Menurut diplomat, versi akhir draf itu ditolak oleh Rusia dan China.

Moscow dan Beijing sebelum ini menentang usaha Barat untuk mengenakan tindakan ke atas Assad.

Menurut kumpulan aktivis, pasukan tentera Syria melancarkan roket yang dilengkapi dengan gas saraf ke beberapa kawasan pinggir bandar Damsyik, termasuk Ain Tarma, Zamalka dan Jobar di Ghouta, semalam.

Serangan dilakukan ketika penduduk sedang tidur dan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan bayi tidak berdosa. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment