My Add

Monday 26 August 2013

Lawatan Hagel nilai tambah kerjasama Malaysia-AS

 *HISHAMMUDDIN Tun Hussein dan Chuck Hagel (kanan) dalam sidang akhbar sempena lawatan rasmi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat itu selama dua hari ke Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ MOHD NAJIB MOHD NOR
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutamanya dalam bidang diplomatik dan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel ke Malaysia dilihat satu nilai tambah kepada kerjasama itu terutamanya memberi pemahaman jelas tentang senario negara ini.

"Memandangkan landskap global terutamanya di rantau Asia Pasifik, lawatan ini penting bagi Malaysia mempunyai rakan yang bukan sahaja akan menghargai sistem negara tetapi juga mampu berkongsi, bekerjasama dan berminat untuk membawa hubungan ke tahap lebih tinggi.

"Dalam memberi tumpuan hubungan dua hala, ini penting bagi kedua-dua negara membina kepercayaan dengan kerajaan serta pihak berkepentingan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Hagel di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hagel tiba yang semalam bagi rangka lawatan rasmi pertama beliau selaku setiausaha pertahanan ke Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, lawatan kerja Presiden AS, Barack Obama pada bulan Oktober nanti akan meningkatkan hubungan antara Kuala Lumpur dengan Washington bukan sahaja dari aspek keselamatan tetapi bidang politik dan ekonomi juga.

Sementara itu, Hagel berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keselamatan serantau dan global.

Beliau menyatakan komitmen AS membantu Malaysia dalam meningkatkan keupayaan dalam bidang-bidang seperti bantuan kemanusiaan dan bencana serta keselamatan global.

"Kita telah menjalankan lebih 75 aktiviti berkaitan ketenteraan dengan Malaysia menerusi acuan yang lebih profesional dan fleksibel," katanya.

Ditanya tentang kejadian gas kimia di Syria, Hagel berkata, Washington masih lagi membuat siasatan berhubung perkara itu.

Tambah beliau, segala persoalan akan terjawab sebaik siasatan kejadian itu selesai. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment