My Add

Monday 26 August 2013

Wanita terus diberi peluang - PM

Oleh HUSSAINI AMRAN dan ROZIANAH RISMAN

 *NAJIB diiringi Rosmah Mansor bersama Rohani Abdul Karim (kiri) dan Azizah Mohd. Dun (kanan) meletakkan logo sebagai gimik pelancaran Perasmian Hari Wanita 2013 Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan akan terus memberi peluang kepada wanita agar peranan golongan itu dalam pembangunan negara dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri berkata, kaum wanita merupakan kumpulan masyarakat yang sangat penting dalam proses pembangunan dan transformasi Malaysia ke arah status negara maju.

Menurut beliau, matlamat itu tidak mungkin tercapai tanpa peranan aktif wanita dalam menjayakan agenda transformasi negara.

"Kita perlu memberi peluang kepada kaum wanita sebab mereka boleh menjalankan tanggungjawab itu dengan begitu baik sekali.

"Sudah terbukti dalam konteks negara kita, apabila diberi jawatan-jawatan yang penting dalam kerajaan dan pentadbiran, umumnya kaum wanita telah membuktikan kemampuan mereka, malah menunjukkan kecemerlangan ketika memegang jawatan-jawatan tinggi tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Hari Wanita 2013 Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Respek Wanita 2013 kepada Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur, Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah; Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid dan Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy.

Tiga lagi penerima anugerah ialah penganalisis jenayah, Kamal Afandi Hashim; Pengarah Urusan DTE Consult Sdn. Bhd., Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor dan Presiden Women for Women Society, Ann Teo Chiang Joo.

Najib memberitahu, pengiktirafan terhadap peranan penting wanita tidak seharusnya dilihat sebagai pernyataan politik, malah perlu dihayati agar terus diperkasakan.

Beliau turut berharap pihak majikan di negara ini sama ada dalam sektor awam atau swasta mengambil kira keperluan wanita yang terpaksa melakukan pelbagai tugas di tempat kerja.

"Antaranya, perlu ada kemudahan pusat jagaan kanak-kanak. Kalau tiada, segera wujudkan dan kerajaan telah menyediakan insentif," ujarnya.

Tambah Najib, majikan juga sewajarnya mempertimbangkan inisiatif-inisiatif lain seperti waktu kerja anjal, menggalakkan wanita yang berkeluarga kembali ke alam pekerjaan dan kelonggaran untuk bekerja dari rumah.

Berhubung tema sambutan Hari Wanita 2013 iaitu 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera', beliau berkata, kaum wanita dan kaum lelaki sewajarnya saling menghormati serta memahami kehendak masing-masing.

"Bila kita sebut respek wanita, maknanya wanita perlu dihormati dan dilayani dengan baik walau di mana sahaja mereka berada.

"Baik di rumah, di pejabat hatta di dalam lif sekali pun. Bila saya sebut 'lif' itu, ada relevannya dalam konteks semasa," jelasnya.

Menurut beliau, seruan menghormati wanita itu adalah bertepatan dengan isi khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya, mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia." - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment