My Add

Thursday 15 August 2013

Lelaki belasah isteri dalam lif dibuOleh AZHARI ZAINOODDIN

 * KEJADIAN seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka di dalam lif di sebuah hospital swasta boleh dilihat melalui laman YouTube dalam kejadian di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu.
PULAU PINANG, RABU, 14 Ogos, 2013: Polis sedang memburu seorang lelaki yang membelasah isterinya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Isnin lalu yang rakaman video perbuatan itu tersebar dalam Facebook dan YouTube

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan yang merupakan seorang penjawat awam dan bertugas di Jerantut, Pahang.

"Kita telah pergi ke pejabatnya di Pahang dan mendapati lelaki berkenaan tidak masuk ke pejabat.

"Oleh itu, kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 36 tahun ini supaya dapat memberi kerjasama dalam usaha mengesannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam satu video berdurasi 2.20 minit telah menggemparkan pengguna internet di negara ini apabila video yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun Facebook.

Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak yang sehingga pukul 3 petang tadi telah ditonton oleh 532 pelayar laman YouTube turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan menendang isterinya, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun sehingga tersungkur sebaik pintu lif terbuka.

Mazlan dalam pada itu menambah, ekoran kejadian berkenaan, mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala dan sakit di pergelangan tangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, lelaki tersebut boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kita percaya apa yang berlaku berpunca daripada salah faham keluarga dan kejadian ini terjadi ketika lelaki terbabit bersama isteri dan dua anaknya mahu melawat anak sulung mereka yang sedang dirawat di hospital tersebut," ujarnya.

Sementara itu, beliau mengecam tindakan pihak tertentu yang menuduh polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap insiden berkenaan.

Katanya, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang, Isnin lalu manakala laporan polis diterima pada pukul 4.40 petang hari sama.

Mazlan berkata, pihaknya menjalankan soal siasat dan mengambil keterangan daripada mangsa.

"Tidak betul apabila ada pihak yang mengatakan polis tidak menyiasat perkara ini kerana siasatan terus dijalankan selepas polis menerima laporan dan kita juga sedang berusaha mendapatkan perintah bagi mengasingkan mangsa daripada suaminya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment