My Add

Thursday 15 August 2013

Status PR pemilik resort ditahan boleh ditarik balik

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Status penduduk tetap (PR) pemilik sebuah resort di Johor yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau dalam kawasan penginapan itu menjadi tempat ritual keagamaan bukan Islam boleh ditarik balik.

Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memberi maklum balas kepada Utusan Malaysia berhubung tindakan pemilik resort berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

''PR akan ditarik balik setelah siasatan selesai,'' katanya ringkas.

Pemilik resort berusia 45 tahun yang berasal dari Singapura dan mempunyai status PR negara ini boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sabtu lalu, penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar, Kota Tinggi gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat asar.

Semalam, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut memberitahu, bangunan surau resort itu berkemungkinan dirobohkan sebaik sahaja siasatan tentang kes itu selesai.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa negeri akan bersidang bagi membincangkan kes tersebut berdasarkan kenyataan serta bukti daripada semua pihak yang terlibat termasuk memutuskan kesudahan bangunan itu.

Sementara itu, pemilik resort itu juga diberi tempoh 14 hari untuk membuat pemulihan bangunan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment