My Add

Thursday 22 August 2013

Lelaki mati ditetak leher, tangan kaki terikat dalam semak

Oleh ROSMAWATI SALIHIN

KOTA KINABALU, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan lehernya ditetak, tangan dan kakinya terikat serta mulutnya disumbat dengan gumpalan kain di dalam semak di Kampung Binaung Baru, Menggatal di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali dengan nama Ibnu Paharan, 29, yang juga seorang pemandu kereta sapu ditemukan kira-kira pukul 7 pagi oleh sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pada mulanya beberapa penduduk kampung yang mencurigai kewujudan sebuah kenderaan di kawasan itu telah menghubungi polis dan pihaknya yang ke tempat lokasi mendapati kereta tersebut tidak mempunyai pemandu.

"Kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Menggatal dan hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu dimiliki oleh sepupu mangsa di Sandakan. Selepas dihubungi, pemilik itu memaklumkan bahawa kenderaan itu dipandu dari Sandakan ke Kota Kinabalu untuk menghantar ibu saudara mereka.

"Susulan daripada itu, polis telah kembali ke tempat kejadian dan berjaya menemukan mayat mangsa di kawasan semak kira-kira jam 50 meter dari lokasi kenderaan terbabit ditemui," katanya di sini hari ini.

Tambah Jauteh, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh terlebih dahulu sebelum mayatnya dicampak ke kawasan semak berhampiran kampung tersebut.

"Kita masih menyiasat motif pembunuhan ini dan polis juga mempercayai suspek yang terlibat adalah lebih daripada seorang," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut supaya tampil membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment