My Add

Monday 19 August 2013

LKTN sasar tanam 2,000 hektar kenaf

KOTA BHARU, AHAD, 18 Ogos, 2013: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan tanaman kenaf seluas 2,000 hektar di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Loman berkata, setakat ini penanaman kenaf sudah mencapai keluasan 1,330 hektar.

"Saya yakin kita mampu mencapai sasaran tersebut memandangkan penerimaan terhadap tanaman kenaf kini semakin meningkat terutamanya di kawasan penanaman padi yang tidak mendapat bekalan air.

"Antara kawasan yang aktif menjalani penanaman ini ialah di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi LKTN, Datuk Noor Zahidi Omar.

Pada majlis tersebut, seramai 340 kakitangan LKTN serta 10 buah kenderaan dilepaskan sebagai simbolik kepada pelancaran sambutan kemerdekaan.

Ahmad berkata, untuk memastikan sasaran itu tercapai, pihaknya akan melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan petani, terutamanya bekas penanam tembakau untuk mengalihkan usaha kepada tanaman tersebut.

"Sekarang kita dalam proses mengembangkan lagi penanaman kenaf berikutan di negeri ini kita mempunyai seramai 174 penanam daripada jumlah sasaran sebenar seramai 300 penanam.

"Sehingga kini, kita sudah menanam tanaman kenaf seluas 350 hektar daripada keluasan keseluruhan ialah 600 hektar, manakala selebihnya akan ditanam pada bulan depan," katanya.

Beliau berkata, walaupun pendapatan untuk tanaman kenaf tidak setanding dengan tanaman tembakau, namun ia tetap diberi perhatian.

"Kita telah mengeluarkan insentif sebanyak RM2,385 sehektar kepada petani yang mengusahakan tanaman berkenaan," katanya.

Tambah beliau, sebelum ini LKTN hanya mampu mengeluarkan hasil kira-kira tiga tan metrik kenaf sehektar tetapi kini kita sudah mencapai sehingga lapan tan metrik sehektar.

"Sekiranya pencapaian yang memberangsangkan ini dapat dikekalkan sehingga jangka masa panjang, saya yakin kita mampu mencari pasaran luar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment