My Add

Monday 19 August 2013

Kerajaan pastikan semua dapat maklumat TPPA

KOTA BHARU, AHAD, 18 Ogos, 2013: Kerajaan memandang serius dan akan meningkatkan soal ketelusan dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bagi memastikan semua pihak mendapat akses maklumat yang tepat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa yang sama, beliau akan membangkitkan soal ketelusan dalam mesyuarat menteri TPPA di Brunei bermula esok sehingga Rabu ini.

Beliau berkata, usaha itu juga bagi mengelakkan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat pelbagai spekulasi disebabkan tidak mendapat maklumat yang mencukupi mengenai rundingan tersebut.

"Kita sudah membuat keputusan ini, dalam kenyataan saya sudah katakan jemaah menteri memandang serius isu ketelusan dan kita akan tingkatkan ketelusan. Ini isu besar.

"Separuh (isu) itu berdasarkan spekulasi oleh kerana kurangnya ketelusan. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana maklumat tidak lengkap, maka sudah pasti ada spekulasi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan tidak telus dalam isu TPPA.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama barisan kabinetnya mengarahkan perwakilan Malaysia di dalam rundingan TPPA untuk terus mempertahankan kepentingan negara berhubung syarat-syarat yang diletakkan di dalam perjanjian itu.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit selepas mesyuarat di Brunei nanti.

"Kita sama sekali tidak akan berkompromi soal ubat-ubatan dan kedaulatan negara, itu kenyataan rasmi dan pendirian Kabinet Malaysia malah kita tidak terikat dengan tempoh masa dalam rundingan ini.

"Selepas di Brunei nanti, kita akan cari kaedah terbaik, yang penting saya akan adakan pertemuan dengan pelbagai pihak. Saya sudah jumpa dengan kokus pembangkang dan kerajaan dan ia sangat konstruktif," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment