My Add

Tuesday 27 August 2013

Malaysia kongsi pengalaman

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG

 *Najib Tun Razak dan Jacob Gedleyihlekisa Zuma (kiri) dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dengan Afrika Selatan mengenai program-program transformasi yang sedang dilakukan selain berhasrat memanfaatkan pelbagai peluang pelaburan yang ditawarkan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Presiden Afrika Selatan, Jacob Gedleyihlekisa Zuma amat berminat tentang pelaksanaan transformasi di Malaysia dan telah menjemput Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala untuk memberi taklimat teliti kepada kerajaannya.

Beliau berkata, selain program transformasi, Kuala Lumpur juga akan berkongsi pengalaman dengan Pretoria berhubung beberapa isu seperti tindakan afirmatif, perihal memerangi jenayah dan rasuah serta pewujudan peluang pekerjaan baharu.

"Isu-isu yang dibangkitkan oleh Presiden Zuma ini juga dihadapi Malaysia. Kuala Lumpur bersedia berkongsi pengalaman mengenai apa yang telah dilakukan, kita pada masa sama turut dapat memanfaatkan pengalaman Afrika Selatan," katanya dalam sidang akhbar bersama Zuma di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, syarikat-syarikat Malaysia bersedia melabur dalam bidang pembangunan infrastruktur di Afrika Selatan serta memaklumkan negara ini mempunyai kepakaran dalam bidang penjanaan tenaga selain pembinaan lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang dan perumahan awam.

"Zuma menekankan mereka perlukan pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur. Syarikat Malaysia bersedia untuk melibatkan diri namun bergantung kepada terma serta model yang ditawarkan," katanya.

Dalam soal perdagangan dua hala yang mencecah AS$2 bilion (RM6.58 bilion) pula, Najib berkata, walaupun imbangan dagangan memihak kepada Afrika Selatan tetapi keadaan itu masih terkawal dan lebihan perdagangan dengan negara lain membolehkan Malaysia mempunyai kedudukan yang baik.

"Malaysia juga merupakan antara pelabur terbesar di Afrika Selatan dengan nilai pelaburan yang mencecah AS$3.5 bilion (RM11.51 bilion)," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai hubungan bersejarah dengan Afrika Selatan di mana negara ini pernah menjadi penyokong kuat kepada Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) dalam penentangan terhadap aparteid.

"Lawatan Presiden Zuma memberi impak baharu dan menggalakkan pihak swasta melihat bidang baharu seperti pendidikan dan pelancongan perubatan yang boleh mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Zuma berkata, lawatan beliau ke Malaysia tambah bermakna kerana ia dilakukan sempena ulang tahun ke-20 jalinan hubungan diplomatik antara Pretoria dengan Kuala Lumpur.

"Hubungan kita sebenarnya boleh dikesan lebih lama melalui hubungan antara ANC dengan UMNO yang mana kita masih mengekalkan hubungan baik ini.

"Pada ketika banyak negara mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat mengenai keadaan Afrika Selatan, Malaysia menjadi antara negara pertama yang melabur di Afrika Selatan," katanya.

Zuma berkata, kunjungan beliau ke Malaysia akan meningkatkan peluang kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua negara seperti pelaburan dan perdagangan, pelancongan, sains dan teknologi, tenaga, pengangkutan dan pembangunan sumber manusia.

Menurutnya, menteri-menteri yang menyertai delegasi beliau ke negara ini turut mempunyai misi untuk meningkatkan hubungan perdagangan dengan Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment