My Add

Tuesday 27 August 2013

UDA perlu kembali ke peranan asal

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
 
 *Muhyiddin Yassin mendengar penerangan daripada Syed Ali Alattas (kiri) mengenai pembangunan Taman Perdana Utama yang akan dibangunkan oleh DPMM di Johor Bahru selepas majlis pelancaran projek itu dalam Majlis Hari Raya DPMM di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden DPMM, Datuk Mohd Alauddin Hassan (dua dari kiri). - bernama
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu UDA Holdings Berhad (UDA) kembali kepada peranan dan fungsi asal penubuhannya iaitu membantu para usahawan bumiputera, khususnya di kawasan bandar-bandar utama negara ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang sebahagian besar usahawan bumiputera di kawasan tersebut berhadapan dengan masalah pemilikan lot-lot kedai memandangkan harganya yang begitu mahal.

Menurutnya, para usahawan juga berhadapan dengan masalah harga sewaan kedai yang begitu tinggi.

“Saya setuju dengan saranan supaya UDA melihat kembali fungsi dan peranannya asal terutama di kawasan bandar yang mana kos sewa agak tinggi, sekali gus sebahagian usahawan bumiputera tidak mampu membeli kedai-kedai untuk berniaga.

“Jadi, mungkin peranan yang sejak dulu diserahkan kepada UDA dapat dilihat semula dalam menyediakan peluang terutamanya kepada usahawan bumiputera di kawasan bandar-bandar utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis hari raya anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut menyatakan komitmen kerajaan menyegerakan pembinaan sejuta unit rumah mampu milik ekoran harga rumah yang terlalu mahal di pasaran.

“Antara perkara yang begitu mendesak ialah isu harga rumah yang dibina oleh pihak swasta terlalu tinggi, bukan saja ratusan ribu tetapi sudah berjuta.

“Malah, golongan bumiputera yang tinggal di bandar atau pinggiran bandar merasa ini satu tekanan ekoran harga rumah yang begitu tinggi," katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika menyewa, mereka terpaksa membayar pada kadar yang amat tinggi.

“(Di peringkat ini) Kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi yang memiliki tanah tetapi tidak dimajukan menyerahkannya kepada Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dimajukan sebagai projek rumah mampu milik dan sederhana," ujarnya.

Beliau dalam pada itu menyambut baik usaha DPMM membangunkan projek perumahan mampu milik melibatkan 264 unit rumah di Taman Perdana Utama, Johor Bahru.

“Sudah tiba masanya badan ekonomi orang Melayu seperti DPMM menguatkan jalinan kerjasama strategik dengan kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk manfaat rakyat," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment