My Add

Thursday 22 August 2013

Mangsa dakwa bas usang

 *PETUGAS bomba mencari mangsa-mangsa kemalangan sebuah bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, semalam. - Gambar ihsan BOMBA
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas bas ulang-alik di Genting Highlands petang ini mendakwa bas itu berada dalam keadaan kurang memuaskan untuk membawa penumpang.

Zaid Ismail, 25, teman lelaki kepada salah seorang mangsa yang terselamat memberitahu, teman wanitanya ada memaklumkan bas berkenaan dalam keadaan usang dan kurang disenangi untuk dinaiki dia dan adiknya.

Katanya, teman wanitanya itu, Nur Syamimi Ja'afar, 25, yang terselamat bersama adiknya, Nur Fathiah, 21, juga memberitahu, dia menyedari tayar bas itu telah haus dan berasa kurang senang sepanjang perjalanan turun ke ibu negara.

"Nur Syamimi dan adiknya, Nur Fathiah sepatutnya menaiki bas pada pukul 1.30 petang tetapi ketinggalan dan terpaksa menaiki bas itu pada pukul 2 petang.

"Menurutnya, dia memang berasa kurang senang dan tidak sedap hati menaiki bas berkenaan kerana ternampak tayar bas itu botak selain keadaannya kurang memuaskan.

"Malah Syamimi sendiri memberitahu, dia berharap perjalanannya cepat sampai ke destinasi apabila bas itu berhenti secara tiba-tiba sebelum kemalangan itu berlaku.

"Tidak sangka, perasaannya yang kurang senang sebelum bas itu bergerak itu rupa-rupanya petanda bas itu akan terlibat dalam kemalangan," katanya.

Nur Syamimi dan Nur Fathiah antara lapan penumpang bas itu yang dirawat di Hospital Selayang dan mereka kini dalam keadaan stabil.

Sementara itu, salah seorang mangsa nahas bas Genting Highlands yang terselamat dalam tragedi semalam sempat menceritakan detik-detik cemas dilalui kepada majikannya.

Shyed Ali Haider Shyed Haider, 46, pekerja warga Bangladesh yang mendapat status penduduk tetap menceritakan detik cemas kepada majikannya, Siti Rahamutun Yusof yang sempat melawatnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini.

Melalui cerita mangsa yang disampaikan oleh Siti Rahamutun, mangsa membawa empat saudaranya untuk bercuti di Genting Highlands dan merasai pengalaman menaiki kereta kabel.

Menurutnya, mangsa mendakwa bas tersebut gagal dikawal kerana dipandu melebihi had laju dan brek gagal berfungsi dengan baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment