My Add

Tuesday 20 August 2013

Mara kaji tempat baharu pelajar luar negara, elak negara tidak stabil - Shafie Apdal

* MOHD.. Shafie Apdal (dua dari kanan) bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib (kanan) bersama Hishammuddin Tun Hussien (dua dari kiri), Hassan Malek (tiga dari kiri) dan Bung Mokhtar Radin pada majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Wisma Felcra, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti semula penempatan pelajar-pelajar tajaannya di luar negara khususnya dalam bidang perubatan dengan memilih negara-negara yang lebih stabil, selamat dan diiktiraf dalam bidang berkaitan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah itu bagi memastikan kesemua pelajar dapat mengikuti pengajian dengan lancar dan tidak terganggu dengan sebarang ancaman keselamatan.

''Pada masa akan datang, kita mungkin menempatkan pelajar-pelajar di negara-negara yang dirasakan bersesuaian dalam bidang perubatan seperti Rusia, India dan sebagainya.

''Kita akan mengelak daripada memilih negara-negara yang sering berlaku pergolakan seperti Mesir kerana kita tidak mahu usaha pelajar-pelajar untuk menimba ilmu terganggu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Wisma Felcra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Felcra, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Menurut Mohd. Shafie, Mara telah menangguhkan perjalanan pulang 1,481 pelajarnya yang balik bercuti di tanah air ke Mesir bagi tujuan keselamatan.

Katanya, baki 182 pelajar yang masih berada di negara itu pula sentiasa dipantau dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai Mara di sana.

''Berdasarkan pergolakan yang semakin serius, saya ingin menyarankan supaya mereka semua dibawa pulang demi keselamatan.

''Buat masa ini, bagi mereka yang masih berada di sana, kita akan menempatkan di satu tempat yang selamat supaya mudah nanti untuk membawa mereka pulang jika keadaan memaksa," katanya.

Terdahulu, Mohd. Shafie dalam majlis tersebut menyerahkan zakat perniagaan Felcra berjumlah RM294,705 kepada Pengerusi Pusat Pengutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment