My Add

Tuesday 20 August 2013

Kedah tangguh hantar pelajar ke Mesir

ALOR SETAR, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Kerajaan negeri mengambil dua langkah drastik iaitu menangguhkan penghantaran pelajar baharu ke Mesir dan mengarahkan Yayasan Islam Negeri Kedah mengambil khidmat pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan pelajar di asrama Kedah ekoran pergolakan semakin meruncing di negara tersebut.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga keselamatan pelajar kerana kerajaan tidak mahu mendedahkan para pelajar dengan kejadian ganas dan keadaan tidak menentu di negara itu.

" Kerajaan sementara Mesir juga telah menasihatkan agar menangguhkan penghantaran pelajar ke sana dan menghentikan sementara temuduga pelajar untuk pengambilan baharu," katanya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

"Bila mereka dah kata macam itu, kita kena hati-hati, penghantaran pelajar baharu kena tangguhkan dahulu dan sekarang nak pantau pelajar sedia ada.

"Kita sedang menantikan sebarang arahan daripada kerajaan Pusat, adakah perlu membawa pulang 721 pelajar kita yang masih ada di sana.

"Sekiranya sudah sampai masa kita lakukan pemindahan, maka pelajar Kedah pun tergolong dalam mereka yang akan dibawa pulang di bawah tajaan kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan surat tawaran pinjaman pelajaran kepada pelajar tajaan Yayasan Islam Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, dua hari lalu, Asrama Kedah di Mesir telah diceroboh oleh perompak dan bagi memastikan keadaan pelajar-pelajar di sana, pihaknya telah mengarahkan yayasan mengambil khidmat pengawal keselamatan untuk mengawal keadaan asrama itu.

"Dalam keadaan pergolakan ini, maka payah untuk pihak keselamatan Mesir mengawal keadaan dan biasa berlaku orang ambil kesempatan untuk pecah rumah dan malangnya Asrama Kedah salah satu bangunan mereka pecah masuk dengan tujuan mencuri barang pelajar kita.

"Saya telah arahkan pihak yayasan mengambil khidmat pengawal swasta bagi menjaga keselamatan asrama dan pelajar, kita juga akan pastikan bekalan makanan mencukupi dan dihantar setiap hari kepada pelajar dan keadaan di sana masih terkawal," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini yang membatalkan dengan kos petisyen yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengesahkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Merbok, Mukhriz berkata, pihaknya berharap pakatan pembangkang tidak lagi membangkitkan sebarang isu tentang kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu.

"Saya ingat mungkin mereka sengaja cuba untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya tapi terbukti gagal, ini adat resam pilihan raya, kita kena terima keputusan mahkamah.

"Mereka kena terima, harap tak ada lagi sebarang isu berbangkit kononnya mempertikaikan kewajaran Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment