My Add

Tuesday 20 August 2013

MAS tidak akan diswastakan

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SHARAIMEI SHEIKH AHMEDULLAH

 *NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan warga kerja Kementerian Kewangan ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam. Hadir sama, Ahmad Husni Hanadzlah, Ahmad Maslan (kiri) dan Irwan Serigar Abdullah. - BERNAMA
PUTRAJAYA  ISNIN, 19 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan memutuskan bahawa Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) tidak akan diswastakan walaupun masih mengalami kerugian.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pelan pemulihannya yang sudah mula menampakkan hasil dengan jumlah kerugian dialami syarikat penerbangan tersebut semakin berkurangan.

''Jadi dengan trend yang menggalakkan ini, maka kita akan memantau perjalanan MAS supaya kedudukan kewangan dan pencapaian syarikat bertambah baik lagi.

''Ini berasaskan kepada pelan pemulihan dan langkah-langkah yang boleh kita lakukan untuk memperkukuhkan prestasi kewangan MAS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; timbalannya, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berhubung cadangan supaya kerajaan keluar daripada industri penerbangan dengan menjual MAS.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut yakin langkah penswastaan berupaya melonjakkan prestasi MAS kerana syarikat swasta lebih mengutamakan keuntungan berbanding syarikat milik kerajaan (GLC) yang matlamatnya lebih kepada menyediakan peluang pekerjaan.

Najib berkata, MAS adalah sebuah syarikat yang disenaraikan dan dikuasai oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta kepentingan awam lain.

''Segala urusan dalam syarikat berjalan seperti sebuah badan komersial mengikut prinsip-prinsip urus tadbir yang baik dan walaupun MAS mengalami kerugian," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha untuk melonjakkan semula prestasi MAS tidak boleh dilakukan dalam tempoh satu malam dan proses pemulihan dalam mana-mana badan perniagaan juga akan memakan masa.

''Yang penting ialah trendnya ke arah jumlah kerugian yang semakin menguncup atau semakin berkurangan, saya harap tak lama lagi MAS dapat mencapai keuntungan.

''Kita mengambil kira juga industri penerbangan ini begitu kompetitif dan masalah pencapaian kewangan MAS ini tidak tertumpu kepada syarikat ini sahaja," katanya.

Malahan, tegas beliau, semua syarikat penerbangan dunia menghadapi persaingan dan struktur ekonomi yang begitu kompetitif.

Ditanya tentang tindakan agensi-agensi kerajaan yang menggunakan perkhidmatan AirAsia berbanding MAS, Perdana Menteri berkata, ini bergantung kepada lokasi dan kesesuaian jadual penerbangan.

''Kita tak boleh menyekat pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan AirAsia. AirAsia pun syarikat milik rakyat Malaysia, sebahagian besar keuntungan syarikat ini juga beri manfaat pada negara," katanya.

Ujar beliau, AirAsia turut menyumbang dengan membawa masuk ramai pelancong asing dari negara luar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment