My Add

Saturday 17 August 2013

MB Perlis tawar diri tanding Ketua UMNO Kangar

KANGAR, SABTU, 17 Ogos, 2013: Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengesahkan akan bertanding kerusi Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Beliau berkata, langkah itu bagi memenuhi hasrat anggota parti peringkat akar umbi bahagian itu.

Ketika ditemui pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata, keputusan itu diharap dapat mengawal pemusatan kepimpinan UMNO negeri Perlis di Bahagian Arau.

"Adalah wajar saya berpindah ke Kangar untuk mengurangkan pemusatan itu. Saya hanya berhijrah keanggotaan UMNO ke Kangar tapi saya tetap anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh yang terletak di bahagian Arau," katanya.

Azlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis adalah anggota UMNO Bahagian Arau sebelum berpindah ke Bahagian Kangar baru-baru ini.

Katanya, dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perlis, sudah sewajarnya beliau menawarkan diri bertanding kerusi Ketua UMNO bahagian itu yang bakal dikosongkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu.

Mengenai slogan "Kangar untuk orang Kangar" pada sepanduk yang dipasang di beberapa lokasi di Kangar, beliau tidak pasti sama ada ia merujuk kepada hasratnya untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Azlan berkata, jika sepanduk itu bertujuan politik, beliau melihat perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang sempit pemikiran politik.

Mengenai beberapa calon yang turut berminat bertanding kerusi Ketua UMNO Bahagian Kangar, Menteri Besar berkata, beliau menghormati hasrat mereka.

Antara yang menyatakan hasrat bertanding kerusi itu ialah Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment