My Add

Saturday 17 August 2013

54 pelajar keracunan makanan

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Ogos, 2013: Kira-kira 54 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Bandar Tun Razak, Cheras di sini dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas dipercayai mengalami keracunan makanan malam tadi.

Utusan Malaysia difahamkan, hanya sebilangan kecil pelajar mengadu sakit perut, muntah-muntah, pening kepala serta demam sejak awal semalam. Mereka kemudian diasingkan oleh pihak sekolah bagi pemeriksaan lanjut di sekolah.

Bagaimanapun, selepas bilangan dan keadaan pelajar yang terlibat semakin ramai serta serius, pihak sekolah membawa mereka ke PPKUM kira-kira pada pukul 9 malam menggunakan bas sekolah bagi mendapatkan rawatan lanjut

Seorang pelajar ditemui, Amirul Mohd Zulkif, 17, berkata, dia mula rasa sakit perut selepas menunaikan solat Subuh berjemaah pagi ini.

"Sudah beberapa kali saya keluar masuk tandas sejak pagi hinggakan badan mula lemah dan tidak bermaya lagi," katanya ketika ditemui di PPUKM malam tadi.

Rakannya, Ahmad Naqiuddin Azli, 17, berkata, dia tidak pasti sama ada keracunan itu disebabkan makanan yang dimakan malam kelmarin atau sarapan pagi.

"Kami memang tidak ada makan ditempat lain kecuali di dalam sekolah ini sahaja," ujarnya.

Menurut pelajar-pelajar terbabit, mereka pulang awal ke sekolah berasrama penuh itu dari cuti sekolah bagi mengikuti program kelas tambahan sempena peperiksaan percubaan yang bakal dihadapi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment