My Add

Sunday 25 August 2013

Mesir: Seorang penunjuk perasaan terbunuh

 *PENYOKONG Mursi mengadakan perhimpunan bantahan di Kaherah, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH, SABTU, 24 Ogos, 2013: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan terbunuh apabila perhimpunan bantahan yang diadakan oleh penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi bertukar ganas di bandar Delta Nil, semalam.

Keganasan tersebut tercetus selepas penyokong Mursi bertempur dengan kumpulan penentang, menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan pertempuran itu dan menahan 15 penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Agensi berita rasmi Mena melaporkan, bantahan kumpulan pro Mursi diadakan di seluruh negara, termasuk di Iskandariah dan beberapa pekan di utara dan selatan Kaherah.

Jelas laporan tersebut, kejadian berbalas-balas tembakan turut berlaku di Dalja, selatan Kaherah apabila penyokong Ikhwanul Muslimin menghalang polis memasuki kampung berkenaan.

Dalam pada itu, jumlah penyokong Mursi yang menyertai perhimpunan 'Syahid Jumaat' di seluruh negara, semalam merosot, meskipun pada awalnya dijangka jumlah penyertaan yang lebih ramai.

Kemerosotan jumlah penunjuk perasaan itu dipercayai kerana bimbang berulang kejadian yang meragut lebih 2,000 nyawa, aapabila tentera melancarkan tindakan kekerasan bagi menyuraikan perhimpunan besar-besaran penyokong Ikhwanul Muslimin dua minggu lalu, serta lebih 10,000 lagi cedera.

Selain itu, kira-kira 2,000 ahli dan pemimpin Ikhwanul Muslimin, termasuk Mursyidul Am pergerakan itu, Mohamed Badie turut ditahan.

Di Muhandesseen hanya kira-kira 7,000 orang mengadakan perhimpunan secara aman di kawasan penempatan di Maadi dan Giza. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment