My Add

Saturday 17 August 2013

MRA lancar Tabung Syria

 * ABDUL Razak Kechik (dua dari kanan) bersama Ishak Mas'ud (kanan) memasukkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Syria di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Bharu, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Malaysian Relief Agency (MRA) hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Syria bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian-pelarian Syria di beberapa kem pelarian di negara-negara jirannya.

Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, kemelut yang semakin parah melanda Syria menyebabkan jumlah pelarian di kem-kem di Mesir, Turki, Iraq, Lubnan dan Jordan sesak.

Kesesakan itu, katanya, akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang kritikal terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak berikutan kekurangan bekalan makanan serta bantuan perubatan.

''MRA akan menumpukan kepada tiga bentuk bantuan iaitu penyediaan keperluan asas, peralatan perubatan untuk hospital lapangan serta rawatan susulan daripada pasukan perubatan Malaysia.

''Kami amat berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung pelarian,'' katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran tabung itu di sini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Mas'ud dan Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said.

Menurut Abdul Razak, MRA akan memulakan misi bantuan tersebut pada 8 September ini di kem pelarian Syria di Amman, Jordan.

Misi itu katanya, akan turut disertai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain seperti Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA), Persatuan Sains Perubatan Jordan dan Persatuan Forum Doktor-Doktor Syria.

''MRA telah melakukan tinjauan ke atas kem tersebut pada April lalu bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan di sana dan mengenal pasti bantuan diperlukan,'' katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Malaysian Relief Agency menerusi akaun Maybank Berhad bernombor 5640-9820-6365.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman web www.mra.my atau hubungi talian 03-26972007/012-4668033 atau e-mel ke alamat admin@mra.my. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment