My Add

Saturday 17 August 2013

Tambah, tingkat teknologi aset keselamatan kawal sempadan

 * WAN Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kecemasan di Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Kerajaan akan menambah aset termasuk meningkatkan penggunaan peralatan moden dan berteknologi tinggi dalam mengawal keselamatan sempadan negara daripada diceroboh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha mempertingkatkan keupayaan pasukan keselamatan itu juga dilihat mampu membendung pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, kos untuk mendapatkan peralatan dan kelengkapan itu mungkin tinggi, namun ia perlu diberi perhatian dalam pembentangan Bajet 2014 Oktober depan.

"Kita tidak boleh berkompromi soal keselamatan sempadan tanah air kerana isu ini lebih penting daripada persoalan berapakah kos yang diperlu diperuntukkan," katanya selepas menyampaikan bantuan kecemasan bagi Parlimen Santubong di sini hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, selain Sabah dan Sarawak, antara kawasan yang perlu diberi perhatian adalah sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, kawasan itu memerlukan pengawasan lebih rapi memandangkan berlakunya peningkatan mendadak kes jenayah terutama di Kelantan.

"Kita juga akan memperhebat penglibatan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) bagi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api, barangan subsidi dan aktiviti pemerdagangan manusia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Junaidi memberitahu, KDN akan mengadakan pertemuan dengan seorang pakar risikan pencegahan penyeludupan sempadan antarabangsa di ibu negara Isnin depan.

"Pertemuan itu dijangka membincangkan soal langkah-langkah keselamatan dan kawalan jenayah melibatkan rentas sempadan selain soal meningkatkan hubungan kepolisan dua hala," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil alih semula kawalan keselamatan di sempadan negara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lama lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment