My Add

Saturday 24 August 2013

Musa diminta nilai semula hasrat tanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman diminta mempertimbang semula hasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu Oktober ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, hasrat Musa itu sekiranya diteruskan dibimbangi akan menipiskan peluang calon dari Sabah menduduki tiga jawatan tertinggi dalam UMNO.

"Saya ingin melihat ada calon dari Sabah menduduki jawatan Naib Presiden, jadi saya berharap Musa menilai semula hasratnya bertanding jawatan tersebut.

"Sekiranya ada dua calon dari Sabah yang ingin bertanding, peluang sudah tentu tipis kerana perwakilan mungkin tidak memberi undi kepada kedua-duanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Bung Mokhtar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menasihatkan Musa membuat keputusan sebaik-baiknya sebelum berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO kerana bakal bersaing dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Selain Mohd. Shafie, dua penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan hasrat bertanding selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Sementara itu, tambah Bung Mokhtar, beliau difahamkan Musa tidak begitu berhasrat bertanding jawatan tersebut tetapi didorong Ketua-ketua UMNO Bahagian di Sabah.

"Sehubungan itu, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, wajar beliau memikirkan semula hasrat tersebut dan memberi fokus untuk memantapkan UMNO Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment