My Add

Saturday 24 August 2013

43 maut letupan berkembar di Lebanon

 *KEPULAN asap menyelubungi lokasi letupan bom ketika orang ramai panik dengan insiden di luar Masjid al-Taqwa, di Dataran Abu Ali, Tripoli, Lebanon, semalam. - REUTERS
TRIPOLI, Lebanon, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh, manakala lebih 500 cedera dalam dua letupan bom kereta di luar dua buah masjid, di sini hari ini.

Menurut pihak berkuasa dan beberapa saksi, letupan itu berlaku selepas sembahyang Jumaat selesai.

Letupan pertama berlaku di Masjid al-Taqwa yang terletak di Dataran Abu Ali, menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh mayat rentung dalam beberapa kenderaan yang terbakar.

Letupan kedua pula dilaporkan berlaku lima minit selepas itu di Masjid al-Salam di Mina, tengah Tripoli yang turut menyebabkan kematian.

Beberapa ambulans dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa yang cedera.

Siaran televisyen menunjukkan asap hitam menyelubungi ruang udara, selain beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Kedua-dua letupan itu turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk apabila mereka lari bertempiran, menyaksikan wanita dan kanak- kanak menangis ketakutan.

Kejadian itu berlaku seminggu selepas kira-kira 24 maut dalam satu insiden letupan besar di selatan pinggir bandar Beirut. - REUTERS/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment