My Add

Tuesday 27 August 2013

NGO gesa Khairy tarik balik kenyataan

 Azwandin, Adiwijaya, Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin digesa menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah berkata, kenyataan Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu seolah-olah menunjukkan UMNO parti yang lemah.

“Beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO seharusnya memahami dan menyokong kuat kenyataan yang ditegaskan Najib sebelum ini.

“Apa yang Khairy nafikan ini mungkin hanya untuk mengambil hati orang Cina, sedangkan apa yang beliau katakan itu tidak betul sama sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy dalam laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam yang mendakwa Najib tidak memperakui laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’ selepas pilihan raya umum lalu.

Azwandin berkata, kenyataan Khairy berhubung isu itu seharusnya dibuat dari sudut menyeluruh, bukannya dilihat seperti berat sebelah.

“Jika Khairy berniat untuk menegur, beliau sepatutnya melakukan perkara sama terhadap akhbar Cina, bukannya Utusan Malaysia sahaja," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, Khairy tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian apatah lagi memperlihat seolah-olah beliau mewakili Najib.

Beliau menegaskan, laporan yang ditulis Utusan Malaysia itu langsung tidak bercanggah memandangkan sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 amat mengecewakan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment