My Add

Saturday 24 August 2013

NGO turut desak Waythamoorthy letak jawatan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy meletak jawatan ekoran tindakannya mempertikai tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mereka menyifatkan kenyataan Waythamoorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) itu sebagai biadab selain gagal memahami kedudukannya ketika ini sebagai anggota Kabinet.

Desakan mereka itu sekali gus menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang meminta Waythamoorthy berhenti memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya mahu memberi kenyataan berhubung perkara di luar bidang kuasanya.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, Waythamoorthy sepatutnya bertanya kepada polis atau Ahmad Zahid terlebih dahulu mengenai perkara sebenar yang berlaku, bukannya mempertikai kredibiliti pihak keselamatan tersebut.

"Pihak keselamatan sedang bertungkus-lumus mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap kegiatan jenayah bersenjata yang semakin berleluasa sekarang, tetapi Waythamoorthy pula mempertikai tindakan pihak keselamatan berkenaan.

"Kita tidak menafikan haknya untuk memperjuangkan masyarakat India, namun dia perlu tahu kedudukannya. Jika masih mahu mengamalkan mentaliti NGO, elok dia letak jawatan dan beri tumpuan bangunkan masyarakat India," katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan yang julung kali diadakan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Waythamoorthy sebelum ini mempersoal kejadian lima penjenayah ditembak polis itu dan mendakwa melihat gambar mayat-mayat tersebut dan berdasarkannya melahirkan kesangsian berlaku tembak menembak antara polis dengan penjenayah terbabit.

Sementara itu, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Waythamoorthy sepatutnya menghormati tugas dan tahap profesionalisme pasukan polis.

Katanya, Waythamoorthy melihat kegiatan jenayah dalam negara ini menerusi skop yang sempit dan sewajarnya beliau digugurkan daripada barisan Kabinet.

"Ini bukan isu perkauman tetapi soal keselamatan negara dan keselamatan awam. Saya mendesak Perdana Menteri melucut jawatan Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula berkata, Waythamoorthy tidak boleh terlalu ghairah membela kaum India walaupun beliau memegang status seorang pemimpin disegani kaum tersebut.

"Penjenayah tetap penjenayah dan pihak polis tahu apa yang mereka lakukan. Sepatutnya beliau bincang dahulu, bukan keluar kenyataan melulu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment