My Add

Saturday 24 August 2013

Rebut peluang di Thailand - TPM

 *MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan Kittirat Na Ranong ketika bertemu sebelum kedua-dua pemimpin itu menghadiri mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri di Bangkok, semalam. - bernama
BANGKOK, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Thailand akan membelanjakan kira-kira AS$60 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negara ini dalam masa beberapa tahun akan datang, sekali gus membuka peluang besar kepada usahawan Malaysia merebut potensi perniagaan itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Kittirat Na Ranong ketika mereka mengadakan pertemuan sebelum sama-sama menyertai mesyuarat meja bulat dengan para peneraju industri dari kedua-dua negara di sini hari ini.

"Beliau memberitahu tentang rancangan Thailand yang mahu melaksanakan beberapa projek besar antaranya melibatkan kemudahan pelabuhan dan kereta api," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar syarikat Malaysia merebut peluang berkenaan selain menyertai pelbagai bidang ekonomi lain terutama pelancongan, perbankan dan industri halal.

Mesyuarat tersebut diadakan sempena lawatan kerja dua hari Muhyiddin ke negara ini yang bermula semalam.

Sempena lawatan kerja itu juga, Timbalan Perdana Menteri turut melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.

Selain diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, lawatan itu juga disertai oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Yang turut serta, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasmi tersebut sebagai berjaya, bukan sahaja dari segi mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara tetapi juga meningkatkan kerjasama ekonomi.

"Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat swasta di kedua-dua negara," katanya.

Beliau juga berharap projek pembangunan yang dirancang bersama oleh kedua-dua negara dan syarikat swasta khususnya di selatan Thailand dapat dilaksanakan segera sekali gus membantu ke arah proses damai wilayah bergolak berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment