My Add

Wednesday 21 August 2013

PDRM yakin selesai tujuh kes tembakan di Kelantan

 *DR. WAN Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Yakob selepas mengadakan pertemuan di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU, SELASA, 20 Ogos, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin dapat menyelesaikan tujuh kes jenayah melibatkan penggunaan senjata api di negeri ini yang berlaku sejak awal tahun ini setelah mengenal pasti kesemua individu terlibat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesemua mereka sedang diburu dan ada yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran selepas melakukan jenayah tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti cadangan kerajaan negeri ini supaya PDRM mendapatkan khidmat Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memburu suspek yang melarikan diri ke negara jiran.

"Cadangan itu dikemukakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob tetapi harus dibincang terlebih dahulu kerana permohonan menggunakan khidmat Interpol perlu melalui pelbagai prosedur termasuk mendapatkan kelulusan di Eropah.

"Ada tujuh jenayah melibatkan senjata api berlaku di negeri dan polis tahu setiap suspek, namun pada masa sekarang mereka belum ditangkap kerana mungkin melarikan diri ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan selama sejam bersama Ahmad di Pejabat Menteri Besar itu di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Wan Junaidi mengulas mengenai keadaan keselamatan di negeri ini termasuk di sempadan terutama selepas berlaku tujuh kes tembak menyebabkan beberapa kematian sejak awal tahun ini.

Beliau memberitahu, siasatan polis mendapati kesemua kes itu dilakukan individu yang sama kerana masalah perniagaan, kemarahan, dadah dan unsur balas dendam.

Sementara itu, mengulas lanjut pertemuannya dengan Ahmad, beliau berkata, kerajaan negeri berjanji akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam aspek keselamatan.

"Perbincangan kami berhubung keselamatan dan dadah di Kelantan, lawatan saya ke sini juga untuk melihat kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan melihat macam mana Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan polis berfungsi di situ.

"Kerajaan negeri dan Pusat memang bersama dalam hal ini dan saya rasa berbangga apabila mendapat pengesahan daripada menteri besar bahawa beliau bersama dengan kita berhubung keselamatan negara," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment