My Add

Tuesday 27 August 2013

Pelajar Malaysia bawah program evakuasi pulang selewat-lewatnya Jumaat

KAHERAH, SELASA, 27 Ogos, 2013: Kesemua pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar di bawah program evakuasi akan dibawa pulang ke tanah air, selewat-lewatnya pada Jumaat.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sehingga kini seramai 1,305 pelajar telah dibawa pulang dan dijangka 1,056 lagi akan menyusul menerusi program berkenaan.

"Alhamdulillah Majlis Keselamatan Negara telah menjalankan tugas dengan baik. Berbanding dengan Ops Piramid 1, operasi kali ini lebih licin dan baik," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum berlepas pulang bersama 260 pelajar Malaysia ke ibu negara di sini, malam tadi.

Idris mengetuai delegasi Kementerian Pendidikan ke Mesir dalam rangka lawatan kerja ke negara itu, sejak Sabtu bagi mengadakan perbincangan dengan kementerian pengajian tinggi Mesir berhubung urusan pembelajaran pelajar Malaysia.

Lawatan kerja itu diteruskan anggota delegasi lain terdiri daripada Ketua Setiausaha Kedua Kementerian Pendidikan Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail, bekas Duta Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, wakil Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia Datuk Yahya Abd Jalil dan Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan, Sektor Pengajian Tinggi (Bahagian Pendidikan Malaysia) Ibrahim Ali.

Sementara itu, ditanya samada pendaftaran bagi program evakuasi itu masih dibuka, beliau berkata ia telah ditutup ketika ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan keadaan negara itu yang tidak menentu. 

Dalam perkembangan lain, Idris berkata hasil perbincangan dengan Universiti Kaherah pada Isnin, pihak universiti berkenaan bersetuju mengadakan peperiksaan di Malaysia bagi kira-kira 100 pelajar Malaysia di universiti berkenaan yang terlibat dalam program evakuasi pada 3 sehingga 5 September ini.

Sementara itu katanya pihak Universiti Al-Azhar semalam turut bersetuju memberi kebenaran bagi pelajar yang terlibat dalam program evakuasi itu menangguhkan peperiksaan.

Ditanya mengenai prospek pelajar Malaysia di Mesir, Idris berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment